18 penyelesaian digital mampu perkasakan perkhidmatan awam

PUTRAJAYA: Sebanyak 18 pasukan yang berjaya terpilih melalui program mencari penyelesaian permasalahan perkhidmatan secara digital, MYHackathon, akan membangunkan kaedah penyelesaian masing-masing dalam tempoh 12 bulan akan datang dalam sesi pelaksanaan projek.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, 18 pasukan yang menang itu terpilih daripada sebanyak 36 penyelesaian digital yang digilap untuk memimpin proses pendigitan perkhidmatan awam.

Katanya, program yang dilancarkan pada Oktober lalu, bertujuan untuk mengenal pasti kelemahan di dalam perkhidmatan kerajaan dan mencari jalan penyelesaiannya dari perspektif orang ramai.

“Semua pasukan itu membabitkan pelbagai kategori idea iaitu enam (e-Perkhidmatan), tiga (virtual realiti), tiga (Pertanian : Pertanian Moden dan Data Pertanian), dua (e-Pendidikan), dua (Perkhidmatan Kesihatan) dan dua (Perkhidmatan Kerja Awam).

“Melalui idea yang terpilih itu, ia boleh dikembangkan ke seluruh negara melalui kementerian dan agensi berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam portal beliau, hari ni.

Khairy sebelum ini memaklumkan kerajaan bercadang menjadikan MYHackathon sebagai acara berulang kerana program itu dapat membantu meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam utama kepada rakyat,

“Melalui MYHackathon 2020 kerajaan dapat menggalakkan pertumbuhan dan perkembangan usahawan dalam bidang teknologi negara, terutamanya dalam kalangan belia, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan buruh asing,” katanya.

Ia juga selari dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 dan Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi Malaysia (MySTIE) yang bertujuan memperhebatkan usaha pembangunan dan penggunaan teknologi tempatan dalam usaha mentransformasikan negara daripada pengguna teknologi kepada pembangunan teknologi. -UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Fill out this field
Fill out this field
Please enter a valid email address.
You need to agree with the terms to proceed

Menu